Rata-rata pelajar yang ditemui Utusan Online menyifatkan perkara itu bukan sahaja dapat membantu mereka memahami subjek dengan lebih baik bahkan dapat meningkatkan prestasi untuk mencapai keputusan cemerlang.

Muhammad Ammar Rafel Rizalman, 12, berpendapat program A+ ini banyak membantu meningkatkan prestasi dan markah pelajar sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula 24 September ini.

“Sebelum ini saya perlu berjumpa dengan cikgu untuk mendapatkan latih tubi dan membuat latihan secara berkumpulan bersama rakan kelas, kini menerusi program A+ saya telah bersedia untuk menduduki peperiksaan.” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Pecutan Akhir A+ Peringkat Kebangsaan, yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri hari ini.

Senada dengannya, Siti Maryam Rashdan, 12, berkata, untuk mendapat keputusan yang cemerlang dia perlu lakukan lebih banyak latih tubi terutamanya untuk subjek Sains.

“Saya rasa lebih yakin untuk menjawab soalan peperiksaan kerana dengan adanya program A+ ini saya boleh lakukan latihan di mana sahaja secara dalam talian.” ujarnya

R. Tarani Naidu, 12, turut menyatakan rasa teruja dengan program A+ ini kerana sebelum ini dia hanya melakukan ulang kaji menggunakan buku teks dan latihan yang diberikan oleh guru tetapi sekarang dia boleh melakukan latihan sendiri secara dalam talian. - UTUSAN ONLINE