SAHOL HAMID
SAHOL HAMID

Tindakan itu bukan sahaja berbahaya kerana boleh dijadikan tiket untuk menipu, malah turut mencalar kehormatan sesebuah institusi pengajian tinggi.

Ikuti bahagian akhir laporan khas oleh wartawan MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI bersama jurugambar MOHD. NOOR MAT AMIN dan JEFFRI IRAN mengenai isu ijazah palsu yang begitu mudah diperoleh sekarang.

HANYA mahu melunaskan tuntutan nafsu seperti memajukan kedudukan dalam pekerjaan, meningkatkan peluang niaga dalam bisnes dan sebagainya menjadi alasan begitu ramai individu memalsukan kelulusan akademik.

Selain dalam industri perniagaan atau pun syarikat korporat, institusi akademik tidak terlepas daripada masalah pegawainya yang memalsukan ijazah semata-mata untuk naik pangkat.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Peme­gang Amanah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang memberitahu, terdapat tiga kategori pemalsuan ijazah.

Beliau berkata, tiga kategori tersebut ialah merangkumi ke­semua peringkat ijazah sama ada diploma, sarjana muda, ijazah sarjana ataupun ijazah doktor falsafah (PhD).

“Kategori pertama adalah membeli secara terus daripada universiti terlibat. Ia tidak memerlukan individu berkenaan memasuki kuliah, menduduki peperiksaan dan membuat tesis.

“Kategori kedua, membeli ijazah melalui sindiket atau internet. Mendaftar di universiti melalui sindiket, kemudian peroleh ijazah dalam masa yang singkat daripada universiti terkemuka.

“Kategori ketiga pula berdaftar dengan universiti, tetapi upah orang lain untuk membuat tesis atau tugasan seterusnya memperoleh ijazah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, selain pemalsuan ijazah, terdapat juga individu yang memalsukan gela­ran akademik lain seperti profesor termasuk badan profesional iaitu insinyur (Ir.) bagi jurutera dan surveyor (Sr.) bagi juruukur.

“Isu pemalsuan sedemikian adalah paling bahaya kerana mereka mempunyai kepentingan tersendiri untuk berbuat demikian, tetapi telah mencalar kehormatan sesebuah institusi.

“Sebagai contoh, gelaran profesor hanya boleh digunakan di universiti berkenaan sahaja dan masih dalam tempoh perkhidmatan. Orang sudah bersara tidak boleh gunakan gelaran tersebut kecuali profesor emeritus dan profesor diraja.

“Begitu juga dengan ijazah PhD kehormat, orang yang meneri­manya tidak boleh disebut sebagai doktor, jika ditulis pula gelaran tersebut diletakkan dalam kuru­ngan.

“Saya memandang serius masalah ini. Semasa berada di UiTM, saya pernah memecat empat pegawai kerana menggunakan ijazah dan gelaran palsu. Saya juga pernah buat tiga laporan polis terhadap ejen yang cuba menjual ijazah dari UiTM,” tegasnya.

Beliau mencadangkan supaya kementerian terlibat mewujudkan undang-undang supaya etika akademik ini tidak boleh dilanggar sesuka hati.

» Bahagian AKHIR