Beliau yang juga pakar tulisan Jawi berkata, penggunaan tulisan tersebut boleh diperkasakan dengan kaedah lebih moden melalui instrumen atau aplikasi digital yang boleh memartabatkannya yang pernah digunakan sebagai bahasa persuratan dan perhubungan dalam tamadun Melayu sebelum ini.

“Saya kini dalam proses perbincangan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memperkenalkan animasi tulisan Jawi bagi memudahkan penggunaan tulisan ini sekali gus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dengan adanya animasi tersebut, tulisan Jawi akan terus dimartabatkan serta dikembangkan ke serata pelosok dunia,” katanya da­lam program Bual Bicara Bersama Utu­san Online di sini, hari ini.

Kyoung Seok, 63, mula memperkenalkan pengajian dalam kebudayaan Melayu terutama tulisan Jawi di Daegu University of Foreign Stu­dies (DUFS), Korea Selatan turut menjalankan kajian mengenai ilmu Jawi atau Jawiology melalui Pusat Antarabangsa Jawiology di universiti tersebut.

Beliau yang juga Profesor Pelawat di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM turut berhasrat mencipta mesin pengimbas yang boleh menterjemah tulisan Jawi kepada pelbagai bahasa dan percaya teknologi itu dapat membantu peminat tulisan Jawi sepertinya.

Katanya idea berkenaan timbul selepas mengetahui lebih 5,000 manuskrip lama bertulisan Jawi yang masih belum terusik  untuk dilakukan sebarang kajian atau usaha-usaha untuk menterjemahkannya ke dalam tulisan Rumi di Perpustakaan Negara. - UTUSAN ONLINE