Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, kedudukan hakim sewaktu dalam bilik penghakiman adalah agak jauh antara satu sama lain, namun markah yang diberikan oleh hakim adalah hampir serupa antara satu sama lain.

Katanya, ini jelas membuktikan bahawa sistem pemarkahan dan hakim bagi pertan­dingan pada kali ini tidak pernah bias ataupun memihak
kepada mana-mana negara.

“Bukan itu sahaja, peserta dari Malaysia juga sebenarnya berjaya menetapkan satu penanda aras yang agak tinggi bagi peserta negara lain untuk bersaing.

“Perkara tersebut turut diakui sendiri oleh hakim-hakim yang terlibat dalam pertandingan ini apabila mendengar bacaan daripada peserta negara kita,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini malam ini.

Menurutnya lagi, Malaysia juga dipuji kerana mampu me­nganjurkan pertandingan ini yang telah mencecah 59 tahun penganjurannya.

“Ini kerana, Arab Saudi sendiri baru sahaja melakukan pertan­dingan sebegini dan Alhamdulillah mereka sangat kagum dengan usaha yang dilakukan oleh Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, seorang hakim yang terlibat dalam proses pemarkahan tersebut, Profesor Dr. Ahmad Ali Sudais dari Arab Saudi mengakui sendiri keprofesionalan sistem penghakiman dan penjurian sepanjang pertan­dingan ini dilaksanakan.

“Jujur saya katakan bahawa, sistem pemarkahan dan penjurian ini adalah antara yang terbaik sepanjang penglibatan dalam dunia penghakiman ini,” katanya.