HSA berkata, sibutramine telah diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana pengguna boleh mengalami peningkatan risiko serangan jantung dan strok.

Menurut portal berita Channel News Asia, pengambilannya juga akan menyebabkan masalah kesukaran bernafas, rasa berdebar, perubahan mood dan halusinasi.

“Kedua-dua produk itu didapati dijual di pelbagai platform online. Siaatan awal kami menunjukkan terdapat beberapa pengguna yang mungkin telah membeli produk tersebut secara atas talian,” kata HSA dalam kenyataan itu.

HSA berkata, seorang pengguna mengadu mengalami masalah peningkatan denyutan jantung selepas mengambil produk Chapter Plus yang dibeli secara online dari syarikat tempatan OUR COCOMO sambil menambah syarikat itu kini sedang membantu siasatan yang dijalankan pihaknya

Chapter Plus Dengan Backslim juga dipasarkan secara salah sebagai produk yang ‘100 peratus selamat dengan kandungan 100 peratus herba semulajadi tanpa kesan sampingan selepas penggunaan’.

HSA turut menandakan dua produk pelangsingan lain yang serupa dengan Li Da Weight Loss Capsule yang dikesan mengandungi sibutramine iaitu Li Da DAIDAIHUA Weght Losss Capsul dan Lida (Plus).

HSA menasihatkan orang ramai supaya berhenti mengambil ubat kapsul dari jenama berkenaan dan berunding dengan doktor jika mereka berasa tidak sihat.

“Orang ramai juga harus berwaspada terhadap produk kesihatan yang mendakwa menggunakan bahan selamat dan menjanjikan hasil yang cepat. Mereka tidak sepatutnya mempercayai ulasan dalam talian kerana mereka biasanya tidak disahkan,” jelasnya.

“Sesiapa sahaja boleh menjual produk kesihatan pada platform e-dagang. Produk-produk berkenaan mungkin palsu atau dicampur dengan bahan yang tidak diisytiharkan atau bahan terlarang yang boleh membahayakan kesihatan anda secara serius,” kata HSA.

Penjual atau pembekal yang didapati bersalah menjual produk kesihatan haram boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun dan atau dikenakan denda sehingga 100,000 dolar Singapura (RM 297,090).