Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Fazari Mohd. Salleh berkata, Welmart berhampiran Bengkel Daya Sungai Petani itu adalah pusat niaga pertama yang beroperasi di negara ini sejak ia diperkenalkan.

“Kita harap lebih banyak Welmart dibuka di seluruh negara dalam masa terdekat selepas berjaya membuka Projek Daya Cafe di Bengkel Daya Klang, Selangor dan Projek WelCart di Tesco Kota Bharu, Kelantan dan Tesco Bukit Tinggi Klang, Selangor," katanya selepas merasmikan Pusat Perniagaan Welmart Sungai Petani di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKM negeri, Azmi Abd. Karim; Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan JKM, Wan Noraidah Wan Mohd. Zain dan Pengurus Bengkel Daya Sungai Petani, Faizal Mohd. Zabil.

Selain makanan, antara produk lain yang dijual di Welmart tersebut termasuklah kraftangan dan cenderahati.

Mohd. Fazari seterusnya berkata, sejak beroperasi pada Disember tahun lalu, jualan bersih di Welmart ini adalah sebanyak RM3,000.

"Malah, melalui usaha ini, ia memberi peluang pekerjaan kepada dua OKU iaitu Mohd. Khairee Muezzat Mohd. Yusof dan Nurul Iman Hidayah Mohd. Shah untuk berdikari," katanya.

Tambah Mohd. Fazari, penduduk di sekitarnya diminta memberi sokongan terhadap Welmart itu yang dibuka mulai pukul 9.30 pagi hingga pukul 9 malam, sebagai usaha meningkatkan jualan bagi membantu golongan OKU. - UTUSAN ONLINE