Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai potensi agromakanan bagi menambah pendapatan ternyata berhasil dengan lebih banyak produk makanan diproses telah dihasilkan.

"Sehingga kini, sebanyak 2,600 produk makanan diproses dihasilkan untuk pasaran eksport. Ia adalah jumlah yang agak besar berbanding sebelum ini.

"Ini menunjukkan kesedaran rakyat mengenai potensi agromakanan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Tani Negaraku Parlimen Pulai di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut beliau, dengan lebih banyak produk tempatan dieksport, ia akan memberi kesan kepada imbangan perdagangan dan juga mengurangkan jumlah defisit.

Mengulas kes selesema burung di Kelantan, Ahmad Shabery berkata sehingga hari ini, sudah masuk 24 hari tiada kes baru dikesan.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum boleh mengisytiharkan Kelantan bebas daripada selesema burung memandangkan tempoh bebas selesema burung belum masuk 60 hari lagi seperti yang ditetapkan standard antarabangsa. "Mengenai kerugian, kita sedang menganggarkannya kerana banyak pihak yang perlu dinilai kerugiannya," kata beliau.

Ahmad Shabery berkata kebanyakan rakyat terutama di Kelantan menerima keputusan kerajaan membuat sekatan di laluan keluar dari negeri itu bagi menyekat penularan virus tersebut. - BERNAMA