QL Foods memberitahu gambar produk jenama Mushroom telah disalah guna dalam media sosial dan WhatsApp mengaitkan produk berkenaan dengan penarikan semula sijil halal syarikat lain yang terletak di kawasan berhampiran.

Jelasnya, penularan tersebut menimbulkan kekeliruan mengenai status halal produk Mushroom oleh QL Foods.

“Jabatan Agama Islam Perak telah mengesahkan status halal kami melalui Facebook rasmi: https://www.facebook.com/HalalPerak/. QL Foods menyarankan orang ramai untuk menyemak kesahihan sijil halal QL Foods di direktori Halal www.halal.gov.my.

“Sekali lagi, kami ingin menegaskan QL Foods mempunyai sijil halal yang sah. Kami mempunyai sistem pengurusan halal dalaman yang diselia oleh eksekutif halal khusus dan komited untuk memastikan semua produk keluaran QL Foods mematuhi prosedur halal seperti yang ditetapkan oleh Jakim,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE