Pengarahnya, Dr. Mohammad Omar berkata, kejayaan itu hasil serbuan Ops Up di dua premis di daerah Dungun oleh Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Menurut beliau, empat jenis produk yang dirampas daripada sebuah syarikat itu berkait dengan memutihkan kulit selain produk kesihatan lelaki dan produk meningkatkan ketinggian fizikal.

"Malah syarikat terbabit juga didapati menggunakan khidmat beberapa artis sebagai duta untuk mempromosikan produk mereka bagi menarik ramai pembeli," katanya, dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Wan Noraimi Wan Ibrahim dan Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Negeri, Mohd Zawawi Abdullah.

Kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama bagi individu.

Denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama  dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurut Dr. Mohammad, rampasan tersebut merupakan antara yang tertinggi nilainya yang pernah dilakukan oleh bahagian penguat kuasa farmasi dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan produk sedemikian sejak Januari lalu sehingga kini lebih RM1.427 juta.

Syarikat berkenaan juga difahamkan pernah melakukan kesalahan kerana menjual produk tidak berdaftar dan telah dijatuhi hukum oleh mahkamah pada tahun 2014.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat sanggup melakukan kesalahan berulang ekoran kadar denda yang agak rendah sedangkan permintaan yang tinggi memberi pulangan keuntungan yang cukup besar.

"Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau nortifikasi kosmetik melalui laman http://npra.moh.gov.my atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 untuk mendapat kesahihannya agar tidak terdedah dengan gejala memudaratkan kesihatan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE