Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen juga diingatkan agar mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya iaitu yang bermula selepas perisytiharan calon esok sehingga pukul 11.59 malam pada 12 April depan.

Beliau berkata, sebarang aktiviti seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada di dalam bentuk barangan ataupun wang untuk secara rasuah mempengaruhi pengundi bagi memberikan atau tidak memberikan undi juga merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Calon dan pihak-pihak yang terlibat di dalam kempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika bagi menjamin keharmonian masyarakat. Segala arahan yang dikeluarkan SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat ataupun apa-apa keterangan mengenai sebarang pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat di dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, sebarang perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM, manakala bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

"Semua pihak diingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi termasuklah melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyenggarakan pejabat semasa hari pengundian.

Selain itu katanya, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Dalam pada itu katanya, perlu juga diingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihannya secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - UTUSAN ONLINE