TAN CHEE TEONG

Pusat mengundi akan dibuka mulai 8 pagi sehingga 5.30 petang. Bagi DUN Seri Setia, sebanyak 18 pusat mengundi dengan 115 saluran disediakan manakala DUN Balakong membabitkan enam pusat mengundi dengan 129 saluran.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi di Seri Setia hujan manakala petang diramalkan cerah, sementara di Balakong cuaca diramalkan mendung pada sebelah pagi namun cerah pada sebelah petang.

PRK berkembar ini merupakan PRK kedua yang dijalankan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 Mei lepas. PRK pertama berlangsung di Sungai Kandis, yang juga DUN di negeri Selangor, pada 4 Ogos.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan Dr. Halimah Ali daripada PAS. Halimey dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Jalan PJS 10/11 Peta­ling Jaya sementara Dr. Halimah bukan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Bagi PRK Balakong, calon PH, Wong Siew Ki akan berdepan calon MCA, Tan Chee Teong. Chee Teong akan mengundi di SJKC Pekan Batu 11 manakala Siew Ki adalah pengundi di DUN Seri Kembangan.
PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandang­nya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.– BERNAMA