Anwar bukan ada kuasa ajaib seperti mana watak yang sering dijayakan bintang besar filem Tamil, Rajnikanth tetapi Presiden PKR itu telah tampil menjalankan tanggungjawab selaku pemimpin kanan gabungan itu dan bakal Perdana Menteri kelapan.

Drama tegang ini berpunca akibat desakan demi desakan supaya Waytha Moorthy melepaskan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri rentetan daripada beberapa kenyataannya dengan kemuncak membabitkan insiden rusuhan kuil di Subang Jaya.

Berbeza dengan komponen PH yang lain, DAP pula tidak senang dengan desakan sekutunya. Apa sebab, faham-faham sendirilah. Justeru, DAP perlu tunjuk ‘cenge’ atau garang walaupun ini mengakibatkan perbalahan sesama PH.

Ya lah, dulu lantang mengata MCA dan Gerakan kononnya dibuli UMNO, sekarang takkan DAP nak biarkan ludah jatuh ke muka sendiri. Maka seorang demi seorang pemimpinnya menempelak pemimpin Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengkritik Waytha Moorthy yang lain.

Pelbagai hujah diberikan, tak terkecuali analogi Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mencuit hati netizen, “salahkan Waytha Moorthy ibarat salahkan Syed Saddiq Malaysia kalah Piala AFF”.

Semua yang bersuara mendesak Waytha Moorthy melepaskan jawatan secara sukarela kerana tidak mahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terbeban. Biarlah anggota Kabinetnya berundur daripada disingkirkan. Itukan lebih manis.

Cuma, jika Menteri yang menjaga portfolio perpaduan itu masih tidak faham, ada satu pelan perdamaian yang boleh difikirkan pemimpin PH. Ini ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Alang-alang ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bulan depan, kenapa tidak DAP letak Waytha Moorthy sebagai calon. Cara ini tidak akan merendahkan ego DAP malah menunjukkan mereka memberi pembelaan kepada parti kecil.

Baiknya kepada Bersatu dan yang lain, Waytha Moorthy harus melepaskan jawatan sebagai Senator kerana tidak boleh menjadi anggota kepada dua dewan Parlimen. Dengan itu, automatik juga bukan lagi anggota Kabinet apabila bukan ahli Dewan Negara atau Dewan Rakyat.

Maka tidak perlulah Dr. Mahathir menggugurkan anggota Kabinetnya. Jadi lebih lunak dan air muka Waytha Moorthy juga terjaga seperti dipertahan DAP. Andai menang nanti terpulanglah pada Perdana Menteri kerana pelantikan Kabinet adalah kuasa budi bicaranya mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan seperti diingatkan pemimpin DAP, P. Ramasamy.

Bolehlah cuba formula ini. Kerajaan dan rakyat pun nak mengukur sokongan Waytha Moorthy. Alang-alang ada ruang PRK dan lagi pun takkan nak biar pemimpin Hindraf itu jadi Menteri dengan status Senator yang kalau meminjam kata-kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada pemimpin Gerakan dulu, ‘menteri pintu belakang’. Inilah masanya bagi laluan. -UTUSAN ONLINE