Ahmad Ruzaini Mohamed
Ahmad Ruzaini Mohamed

Pengarah Urusan Print Expert, Ahmad Ruzaini Mohamed berkata, kejayaan dalam anugerah berkenaan merupakan pencapaian bermakna buat syarikatnya lebih-lebih lagi bulan ini menandakan genap lima tahun sejak Print Expert ditubuhkan pada 2012.

Katanya, konsistensi yang ditunjukkan oleh Print Expert adalah kunci kejayaan utama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkenaan berkembang dengan pesat.

“Print Expert sangat bertuah kerana mempunyai barisan pekerja berdedikasi yang menjadi tulang belakang sehingga berjaya merekodkan pertumbuhan 100 peratus setiap tahun sejak 2012.

“Anugerah yang diterima ini diharap dapat merealisasikan impian kami dalam merevolusikan industri percetakan sekali gus mendominasi pasaran dalam dan luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Print Expert berjaya meraih Anugerah Pertumbuhan Terbaik bagi kategori Produk Pengguna Terbaik dalam Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang diadakan baru-baru ini.

Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh syariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.

Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Mengulas lanjut, Ahmad Ruzaini berkata, usaha Bank Islam dan Utusan bersama rakan strategik lain menganjurkan anugerah berprestij bagi mengiktiraf pencapaian PKS sememangnya wajar dipuji dan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.

“Anugerah seperti ini lebih-lebih lagi yang dianjurkan oleh syarikat korporat besar seperti Bank Islam dan Kumpulan Utusan dapat mencetus semangat kepada kami sebagai PKS untuk berlumba-lumba bekerja dengan lebih keras.

“Penganjuran anugerah juga dapat menarik minat golongan belia untuk terlibat dalam bidang perniagaan terutamanya perniagaan dalam talian yang akan menjadi nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.