Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, tugas pengacaranya, Azizul Ammar Abu Hassan bersama enam kru digantung tanpa tempoh masa ditetapkan.

Katanya, pihaknya kesal dengan insiden itu dan memohon maaf kepada Watson, keluarga serta seluruh rakyat khususnya di Sarawak yang tersinggung dengan rancangan dan tindakan pengacaranya.

"Sehubungan itu, Azizul Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan di Primeworks Studios.

"Kami berasa kesal dengan perbuatan ini yang tidak sepatutnya berlaku dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi," katanya ketika sidang akhbar bersama Watson di sini hari ini.

Sementara itu Azizul Ammar memberitahu, dia mengakui kesal dengan perbuatannya dan menegaskan tidak mempunyai sebarang niat untuk mempersendakan Watson, mendiang bapanya dan keluarga bekas jaguh pecut itu.

Jelasnya, dia mengakuinya terlepas pandang dalam membuat jenaka yang juga memberi kesan kepada kerjaya serta keluarga.

"Perkara ini cukup memberi impak yang besar kepada saya dan berjanji untuk lebih peka pada masa akan datang serta tidak akan mengulanginya lagi," ujarnya.

Penerbit rancangan itu, Abdul Ghani Mohd. Mokhtar memberitahu, dia akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya. - UTUSAN ONLINE