Menjadi lumrah setiap insan ingin kelihatan menawan dalam setiap pengayaan di samping menitik beratkan soal kualiti dan tawaran harga yang dipasarkan.

Melihatkan keadaan eko­nomi yang sangat mencabar, ramai penggemar fesyen lebih selesa memilih koleksi pakaian mampu milik tetapi ma­sih mengekalkan elemen eksklusif.

Sedar mengenai hal ini, Prima Valet diwujudkan berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai jenama daripada pereka-pereka baharu.

Penubuhan dan pembukaan Prima Valet ini adalah salah satu cara untuk membolehkan pembeli melihat dan merasai sendiri secara lebih dekat koleksi rekaan-rekaan yang jika sebelum ini hanya boleh di­lihat menerusi alam maya sahaja.

Menghimpunkan pemilik jenama pakaian yang semakin kukuh di negara ini, jelas menunjukkan rekaan anak tempatan kini semakin mendapat sambutan hangat daripada penggemar fesyen tanah air terutamanya bagi golongan anak muda dan belia.

Pada pertunjukan fesyen yang diadakan baru-baru ini memperkenalkan koleksi pakaian raya daripada jenama yang tidak asing antaranya Elrah Exclusive, Nur Amirah, far8byalteliaamani X Elrah Exclusive by Fattah Amin, Meylana, Sasqia by Shasya Habib, Asyalliee by Shasya Habib, Amy Search by Elrah Exclusive dan Nur Aishah X Elrah Exclusive.

Koleksi jenama lain yang turut dipasarkan di bawah Prima Valet ialah Shaheizy Sam X Elrah Exclusive, Puteri Zarith by Altelia Amani, Michael Ang X Elrah Exclusive, Youme&Hunny X Elrah Exclusive, Zukie by Elrah Exclusive dan Altelia Amani X Elrah Exclusive.

Pengarah Urusan Prima Valet, Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman berkata, pada tahun pertama syarikatnya menyasarkan untuk berkembang meluas serta membuka lebih banyak butik di bawah empayar Prima Valet.

“Sebagai permulaan Prima Valet bakal membuka empat buah kedai bagi menjalankan operasi perniagaan dan me­ngangkat fesyen RTW untuk Koleksi Hari Raya sebagai medium utama. Koleksi yang dipasarkan adalah bersesuaian untuk semua golongan dari kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa.

“Selain itu, terdapat juga baju me­layu moden, jubah klasik dan moden, hip hop serta fesyen muslimah terkini yang menggunakan warna-warna cerah dan sesuai,” katanya.

Tambahnya, di Prima Valet tidak hanya mengejar keuntungan sebaliknya mencuba mencari ini­siatif untuk membantu pereka baharu mendapat pendapatan sampingan.

“Oleh itu, kami membuka ruang ataupun segmen perniagaan baharu dengan mewujudkan agen, stockist dan personal shopper. Ini semua merupakan agen yang dilantik secara rasmi untuk memasarkan produk pakaian kami.

“Ketika ini Prima Valet telah mempunyai Personal Shopper yang membuat khidmat doorship bagi jualan atas talian menerusi laman media sosial,” ujarnya.