MOHD. ALIAS ABDUL
MOHD. ALIAS ABDUL

Presiden Pengusaha Teksi Bu­miputera Semenanjung (Perbumi), Datuk Mohd. Alias Abdul berkata, saguhati tersebut merupakan hadiah paling bermakna buat pemandu teksi memandang­kan mereka terpaksa berdepan dengan perkhidmatan lain yang lebih murah.

“Pemandu teksi kini terpaksa bersaing dengan perkhidmatan lain yang boleh menawarkan perkhidmatan dengan kadar lebih murah dan kita berharap kerajaan akan meningkatkan inisiatif lain pada masa akan datang dalam membantu meringankan beban golongan ini.

“Pendapatan mereka kini semakin berkurangan berikutan pengura­ngan penumpang kerana go­longan muda lebih berminat untuk menempah perkhidmatan menerusi dalam talian,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dalam satu majlis bersama 15,000 pemandu teksi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian RM800 menerusi Kad Bantuan Teksi 1Malaysia bagi membantu meringankan kos bahan api 67,000 pemandu teksi.

Saari Omar
SAARI OMAR 

Kad tersebut akan diagihkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan bagi menzahirkan inisiatif itu, kerajaan meluluskan dana sebanyak RM53.6 juta.

Dalam masa sama, Mohd. Alias berharap kerajaan meneruskan pemberian saguhati berkenaan dan bukan sekadar one-off selain meningkatkan pendekatan ke arah membantu golongan pengusaha teksi dari semasa ke semasa.

Nada sama disuarakan Penge­rusi Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan, Saari Omar yang menggesa kerajaan mencari kaedah berkesan dalam usaha menjaga kebajikan pemandu teksi.

Antaranya, kata beliau, ialah bantuan kos penyenggaraan ken­dera­an seperti yang diterima oleh para nelayan.

“Ini memandangkan kos tersebut mahal dan perlu ditanggung oleh pemandu sendiri,” ujarnya.