Nilai sitaan harta pula adalah sebanyak RM334.53 juta bagi tempoh tersebut iaitu peningkatan berkali-kali ganda berbanding hanya RM55.02 juta pada tempoh sama setahun sebelumnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberitahu, untuk tempoh sama juga sebanyak 952 kertas siasatan telah dibuka iaitu pe­ningkatan sebanyak 2.94 peratus berbanding tempoh setahun sebelumnya.

“Selain itu, bagi tempoh sama juga sebanyak 910 tangkapan te­lah dibuat iaitu merupakan pe­ningkatan sebanyak 6.04 peratus berbanding tempoh sama setahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM Ke-50 dan perasmian Kompleks Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ibu pejabat SPRM berkeluasan 2.07 hektar di Presint 7 itu terdiri daripada tiga menara iaitu A, B dan C masing-masing setinggi 14, 18 dan 22 tingkat berserta tujuh tingkat podium, mampu me­nempatkan kira-kira 1,800 kakita­ngan.

Dalam pada itu, menurut Dzulkifli, dari segi pemberian maklumat pula menunjukkan peningkatan sebanyak 2.63 peratus iaitu kepada 6,419 aduan bagi tempoh tersebut berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Beliau berkata, prestasi yang membanggakan itu bukan sahaja disumbangkan oleh warga SPRM tetapi juga dengan sokongan dan kerjasama padu oleh rakyat daripada segenap lapisan.

Mengulas lanjut katanya, bagi memastikan gejala rasuah dihapuskan, pihaknya memberi jaminan akan terus mempertingkatkan usaha dalam mencegah dan memastikan penjenayah rasuah ditumpaskan serta diheret ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai turut serta memainkan peranan dengan berdiri teguh di belakang SPRM dan membudayakan nilai membenci, menolak dan memerangi rasuah.