Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan seperti itu juga tidak harus dikeluarkan oleh Majlis Peguam lebih-lebih lagi jika tidak memperoleh persetujuan semua ahli-ahli Majlis Peguam sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan.

“Kenyataan Presiden Majlis tersebut telah dilaporkan oleh beberapa media pada hari ini dan juga disiarkan dalam laman sesawang Majlis Peguam yang menyatakan Presiden tersebut mahukan mereka meletakkan jawatan.

“PPMM mendesak agar Majlis Peguam perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan juga kedaulatan undang-undang (Rule Of Law),” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zainul berkata, hanya Mahkamah Persekutuan sahaja berhak membuat keputusannya dengan bebas tanpa apa-apa desakan dari mana-mana pihak.

“Apatah lagi Majlis Peguam sendiri yang menjadi Pemohon di dalam kes di Mahkamah Persekutuan tersebut bagi menentusahkan pemegangan jawatan kedua-dua Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan itu,” katanya.

Menurutnya, PPMM juga sangat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tegas mahukan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dilaksanakan di negara ini.

“Malangnya kenyataan Presiden Majlis Peguam tersebut tidak melambangkan sebegitu kerana seolah-olah mendesak mahkamah membuat keputusan yang mereka mahu di luar prosiding mahkamah ,” katanya. - UTUSAN ONLINE