Sidang kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di sini itu akan bersidang selama dua hari dengan matlamat utama merealisasikan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan juga pelantikan Setiausaha Agung ASEAN yang baharu.

Duterte dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara anggota dan pemimpin dunia yang turut menghadiri Sidang Kemuncak Berkaitan agar berusaha memerangi keganasan dan pengedaran dadah secara haram yang menjadi ancaman terbesar dunia masa kini.

Sebanyak 20 pemimpin ASEAN dan rakan dialog dari Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat, Kanada, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghadiri sidang kemuncak anjuran Filipina buat kali kedua itu.

Najib mempunyai jadual yang ketat hari ini, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN +1 iaitu bersama Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun dan Pertubuhan Negara-negara Bersatu. - UTUSAN ONLINE