Rumah kebajikan terlibat ialah Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang; Pertubuhan Pengurusan dan Pendidikan Al-Mahabbah, Klang; Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang dan Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Puncak Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, melalui program yang diadakan serentak pada Khamis lalu itu, pihaknya memberi sumbangan duit raya kepada penghuni yang terdiri daripada golongan anak yatim, asnaf dan warga emas itu.

Menurutnya, bantuan kewangan dan keperluan serta peralatan harian bagi menjamin kelangsungan kehidupan mereka di rumah kebajikan itu turut diberikan.

“Ini merupakan program tahunan kami tetapi kali ini PREC membawa kelainan dengan mewujudkan kerjasama bersama para peniaga di SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi supaya turut sama memberi sumbangan.

“Selain memberi sumbangan, maskot kartun turut dipakai oleh kakitangan PREC untuk menghiburkan mereka di samping mengadakan aktiviti lain seperti kuiz, sesi bercerita, persembahan ahli silap mata dan berbalas pantun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE