Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, pada masa ini Prasarana ada menerima pelawaan untuk terbabit dalam beberapa projek rel di sini, namun belum dapat diteruskan kerana projek-projek berkenaan ditangguh oleh pihak berkuasa tempatan.

"Sebenarnya kita ada tugas sebagai juru perunding dalam projek Metro Mekah, namun projek ini kini ditangguhkan.

"Bagaimanapun, apa yang penting sejak dua tahun lalu kita sudah berjaya membina nama dan jenama.

Ini cabaran kita untuk mempertahankan reputasi baik ini," katanya.

Beliau ditemui pada majlis doa selamat dan tahlil menjelang operasi tren haji MMMSL esok di Depoh MMMSL di Al-Abdiya di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham dan Penasihat Prasarana, Abdulrahman Alandijani.

Ismail berkata, selain kemampuan dari segi tenaga mahir, Prasarana dan Malaysia mempunyai kelebihan kerana mampu menyediakan tenaga kerja beragama Islam yang amat dititikberatkan dalam operasi di negara ini.

Katanya, kejayaan mengendalikan operasi tren haji MMMSL petunjuk baik bahawa Prasarana dan kakitangannya mampu mengendalikan tren lain.

"Cabaran sini agak berat dan saya selalu pesan, kalau kita boleh memberikan perkhidmatan baik di sini, tempat lain kita boleh uruskan," katanya.

Beliau menambah, kakitangan Prasarana juga mempunyai tugas berat untuk menjaga imej negara kerana bagi masyarakat tempatan, kehadiran Prasarana di sini tidak dilihat sebagai sebuah syarikat tetapi wakil kepada negara, Malaysia. - UTUSAN ONLINE