Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya juga perlu meneliti beberapa perkara yang perlu diperkemaskan terutama memastikan pembangunan PR1MA selepas ini mengikuti keperluan yang ditetapkan.

"Projek PR1MA yang dalam pembangunan kita teruskan dan yang belum buat kita hentikan. Ada juga projek yang kita lihat mungkin tidak berbaloi diteruskan seperti baru 10 peratus (pembinaan).

"Jadi kita sedang buat 'due diligence' (usaha wajar), kita tengah selaraskan semua dan kita akan buat satu keputusan untuk menentukan keutamaan-keutamaan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim FundMyHome-Depositku di sini hari ini.

Tambah Zuraida lagi, keputusan penuh mengenai projek-projek PR1MA yang perlu diteruskan ataupun dihentikan hanya akan diketahui apabila laporan 'due diligence' tersebut siap sepenuhnya yang dijangka pada bulan Jun depan.

"Tak banyak projek yang dihentikan, saya tiada jumlahya sekarang, pihak PR1MA kini sedang 'due diligence' oleh PricewaterhouseCoopers, sampai mereka dah habis buat baru saya dapatkan laporan penuh.

"Saya tak boleh cakap tepat, saya tunggu laporan itu siap yang dijangka pada bulan Jun yang kemudiannya dibentangkan kepada Kabinet dan buat keputusan-keputusan seterusnya," katanya. - UTUSAN ONLINE