Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata PPS boleh membuat kunjungan pada bila-bila masa dan bukannya hanya pada hari perhimpunan sekolah semata-mata.

Katanya selain hari perhimpunan, PPS juga boleh menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bertemu guru besar, bermesyuarat dengan guru-guru atau berjumpa terus dengan pelajar.

"KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kementerian adalah untuk memastikan PPS masuk ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali dan kita percaya kehadiran polis mampu mengurangkan kes-kes disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar," katanya.

Teo berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM di Sekolah Rendah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) di sini hari ini. Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa dan Guru Besar Norihan Ismail.

Teo berkata selepas tiga tahun dilaksanakan, program yang berjaya membantu pihak sekolah menangani isu disiplin dan jenayah itu kini diperkukuhkan dengan pengenalan papan kenyataan PPS di semua sekolah.

"Semua sekolah digalakkan menyedia dan menggunakan papan kenyataan tersebut untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan polis berkaitan aktiviti dan program yang berlaku di sekolah terbabit," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam perutusan yang dibacakan Rusdi sempena program itu berkata PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang selamat sebagaimana yang digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah.

Antara perkara yang dilakukan ialah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh kementerian dan PDRM dan jika perlu, melakukan rondaan, lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah, katanya. - BERNAMA