Perkara itu ekoran kelewatan pengagihan buku teks Program Dwibahasa (DLP) Sains dan Matematik pelajar tingkatan tiga yang sepatutnya disiapkan pada Disember lalu.

Presidennya, Muhammad Farhan Bashier berkata, pihaknya difahamkan kelulusan khas diberikan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus untuk melaksanakan proses percetakan dan penerbitan tersebut.

“Kementerian sepatutnya membuat tawaran secara tender terbuka bukannya secara rundingan terus bagi mengelakkan pemberian projek hanya kepada kroni agar tidak menjejaskan sistem pendidikan sedia ada.

“Sekiranya buku yang dicetak itu tidak menepati kualiti dan mengikut masa ditetapkan, syarikat tersebut sepatutnya dikenakan denda atau penalti tetapi perkara itu tidak dilaksanakan kementerian hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Farhan memberitahu, pihaknya dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan mengadakan perbincangan untuk berjumpa dengan pihak kementerian bagi menyelesaikan isu terbabit. - UTUSAN ONLINE