Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Haron berkata, pemantauan tersebut bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sewang-wenangnya sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kita akan bertugas seperti biasa dan saya telah arahkan anggota untuk berkampung di semua pasar-pasar bagi memastikan tidak berlaku kenaikkan harga barangan.

“Ini bagi mengelakkan rakyat berdepan masalah gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jualan Hari Raya Aidiladha di Pasaraya Pantai Timur di sini hari ini.

Ab. Ghani memberitahu, inovasi yang diperkenalkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu telah berjaya mengelakkan berlakunya kenaikkan harga barangan.

Katanya, inovasi ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat hasil perlaksaan program tersebut. - UTUSAN ONLINE