Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat guru yang takut untuk melaporkan kejadian buli kerana faktor keselamatan maka PPD perlu peka dengan keadaan persekitaran di sekolah-sekolah yang berada dalam tanggungjawab mereka.


“Kes buli ini bukan sesuatu yang baharu kerana budaya ini berlaku di universiti atau asrama yang mana pelajar senior akan ‘ragging’ pelajar baharu tetapi bukan dalam bentuk fizikal... tetapi zaman sekarang pula buli membabitkan fizikal, tendang, pukul malah menggunakan kayu dan senjata hingga mencederakan.


“Saya banyak bercakap dengan pengurusan sekolah, guru disiplin dan kaunselor supaya bekerjasama dengan polis untuk melaporkan kes buli atau kongsi gelap bagi menangani dari awal sebelum menjadi lebih serius.


“Malah pihak Pegawai Pendidikan Daerah juga perlu bekerjasama dengan Ketua Polis Daerah dalam mencari kaedah terbaik membasmi gejala tidak sihat. Bukannya bila sesuatu kejadian berlaku, barulah mahu jumpa polis,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2017 di sini hari ini.


Dalam majlis tersebut, Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim menyumbangkan duit raya, beras pulut dan kain pelekat serta batik kepada kepada 3,200 penerima dari 143 kampung di daerah Padang Terap.-UTUSAN ONLINE