Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengemukakan senarai itu di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan peranan perwakilan PPBM dalam kerajaan.

“Kita PPBM hanya mempunyai 13 ahli Parlimen. Selain Tun Mahathir, saya dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, jumlahnya tidak besar. 

“Tetapi apa-apa pun, sebagaimana yang dikehendaki oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, kita telah kemukakan dan serahkan kepada kebijaksanaan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ditanya bilakah pengumuman senarai Kabinet oleh Dr. Mahathir, Muhyiddin yang dinamakan sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu terserah kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, Dr. Mahathir telah memaklumkan bahawa parti-parti lain telah pun mengemukakan senarai cadangan mereka justeru, senarai itu bermungkinan akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Memang bagi saya adalah amat penting untuk proses pembentukan kerajaan serta Jemaah Menteri disegerakan, kita ada banyak kerja. 

“Kita sudah terima mandat besar, harapan rakyat begitu tinggi dan mereka hendak melihat adakah kerajaan ini betul-betul bekerja untuk rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE