Lantas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan keinginan PPBM agar diberikan lesen besar untuk menjadi peneraju dalam agenda politik pakatan itu hanyalah cakap kosong dan tidak bersandarkan realiti politik semasa.

“Di atas kertas formula politik Pakatan Harapan, PPBM tidak berada sebagai angkubah tunjang malah parti itu perlu sedar diri bahawa mereka hanya mampu mendapat perhatian di kerusi-kerusi yang memerlukan “ihsan politik” DAP,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan yang baru menyertai PPBM mengenai keperluan parti itu diberikan lesen besar untuk menjadi peneraju dalam agenda pakatan tersebut.

Tegas Shaiful Hazizy, sebagai orang baharu dalam Pakatan Harapan, Wan Saiful dinasihatkan supaya mengurangkan teori dan formula politik serta belajar mendekati rakyat.

“Politik Malaysia tidak perlukan seorang lagi penganalisis yang teleng dan syok sendiri.

“Tidak ada teori politik yang membenarkan sebuah parti kerdil dan komeng menjadi ketua sebuah pakatan dan PPBM perlu peka bahawa mereka hanyalah “pemain pinggiran” di dalam medan politik pakatan tersebut,” ujarnya.

Katanya, DAP dan PKR tidak akan membenarkan naratif PPBM menjadi tunjang kepada pakatan tersebut.

“Lakonan dan sandiwara politik ini tidak akan bertahan lama kerana sebaik sahaja kertas undi dikira, PPBM akan tahu betapa mereka hanyalah sekadar di pinggiran percaturan politik lebih besar.

“Wan Saiful perlu berhenti dengan politik angan-angan mat jenin seperti ini sebab kita khuatir, pemikir seperti beliau akan cepat kecewa dan merajuk apabila mengetahui realiti sebenar yang ada dalam politik,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE