Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PPA1M Bukit Jalil tidak sama sekali menggunakan perbelanjaan kerajaan kerana pelaksanaannya dibuat dengan konsep subsidi bersilang iaitu pemaju memba­ngunkannya untuk kerajaan ser­ta dibenarkan pula untuk membangunkan projek di tanah bersebelahan yang seterusnya akan dijual pada harga pasaran kepada orang awam.

“Kaedah subsidi bersilang ini dilaksanakan secara 60:40 iaitu 60 peratus dengan keluasan 3.068 hektar dibangunkan dengan perumahan PPA1M yang dikawal oleh kerajaan dari segi harga, keluasan dan juga kualiti.

“Manakala 40 peratus lagi iaitu dengan keluasan 2.044 hektar dibenarkan kepada pemaju untuk membina perumahan pada harga mengikut pasaran semasa. Jelas konsep subsidi bersilang ini menjimatkan perbelanjaan kerajaan di samping dapat memenuhi agenda perumahan negara” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Penye­rahan Kunci PPA1M Bukit Jalil di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Seramai 1,536 penjawat awam yang membeli PPA1M Bukit Jalil menerima kunci kediaman ma­sing-masing hari ini selepas projek perumahan tersebut dilancarkan pada 8 April 2015.

Dijadualkan siap pada bulan Mei 2019, PPA1M Bukit Jalil berjaya disiapkan 17 bulan lebih awal di atas prestasi cemerlang pihak pemaju.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan telah menyasarkan untuk membina sebanyak 200,000 unit kediaman PPA1M untuk penjawat awam di seluruh negara.

“Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sejumlah 135,456 unit PPA1M yang terdiri daripada 433 projek di seluruh negara. Bakinya saya yakin dapat dilaksanakan oleh kerajaan pada masa akan datang.

“Penyediaan rumah-rumah mampu milik seperti PPA1M ditawarkan dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran sebagai satu pengiktirafan kepada para penjawat awam yang menjadi tunjang kepada jentera kerajaan selain menghargai sumbangan dan khidmat mereka selama ini,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, pembinaan PPA1M bukan sahaja menepati hasrat kerajaan dalam menyediakan rumah kepada penjawat-penjawat awam tetapi juga untuk mencapai hasrat bagi menambah aset individu-individu.

“Pemilik kediaman mampu milik seperti ini sebenarnya telah mendapat keuntungan ratusan ribu ringgi kerana nilai pasarannya adalah lebih tinggi setanding dengan unit biasa di pasaran terbuka,” katanya.