Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, bagi melaksanakan hasrat tersebut, pihaknya akan menemui Ketua Setiausaha Negara dalam masa terdekat untuk memikirkan langkah terbaik sebelum melaksanakan cadangan tersebut.

“Ada masa kita meminta kerajaan dan ada masa kita sebagai penjawat awam perlu menyumbang kepada kerajaan.

“Kita mencadangkan agar pemotongan gaji dibuat secara one-off iaitu RM10 seorang pada Ogos nanti dan sekiranya dilaksanakan mungkin kita mampu membuat kutipan sehingga RM10 juta,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, semua penjawat awam terutama Kumpulan Pelaksana 1 dan 2 serta pengurusan diseru menyokong hasrat tersebut sekaligus melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan menyokong kewujudan tabung tersebut.

“Penjawat awam boleh buat pilihan sama ada membuat potongan gaji ataupun memberi wang secara tunai. Semuanya mengikut keselesaan dan kemampuan masing-masing.

“Tiada paksaan, ia sumbangan secara ikhlas. Kami tidak memberi tekanan kepada mana-mana penjawat awam,” katanya.

Azih berkata, kutipan itu akan diselaraskan melalui majikan ma­sing-masing dan CUEPACS me­ngu­mumkan jumlah kutipan sebelum penyerahan wang.

“Ia sama seperti apa yang berlaku pada 1998 yang mana penjawat awam ketika itu membantu memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih turut mengucapkan tahniah atas pelantikan ahli Kabinet baharu dan akan menyokong senarai nama dipilih Kerajaan Pakatan Harapan.