Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad berkata, industri herba halia yang kini semakin berkembang boleh dijadikan modal perniagaan baharu menerusi kerjasama dengan syarikat pengeluar produk ubat-ubatan herba di Taiwan.

‘‘Lawatan kerja ke Taiwan ini bakal membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha halia di Bentong untuk bekerjasama dengan pemain industri dari negara tersebut.

‘‘Selain halia, kita juga ada tongkat ali, marongai dan pelbagai barangan herba-herba dari hutan. Justeru, rakyat Bentong perlu menggunakan peluang ini agar dapat menjadikan Bentong sebagai hab untuk pengeluar herba yang baik dan berkualiti untuk pasaran antarabangsa,” katanya selepas melawat kilang bioperubatan Li Kang sempena lawatan kerja De­legasi Pembangunan Ekopelanco­ngan Bentong, Pahang ke Taiwan.

Sebanyak 19 delegasi yang diketu­ai oleh Azhar mengikuti lawatan kerja itu sejak 6 April sehingga 12 April ini, yang bertujuan membangunkan lagi industri ekopelancongan di daerah Bentong.

Sementara itu, Pengurus Besar Li Kang Biotechnical Co. Ltd., Yu Hsiu Cheng berkata, syarikatnya berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan Bentong bagi membangunkan lagi produk herba berasaskan halia.

Kata beliau, kerjasama yang dijangka membawa nilai pe­laburan tinggi kepada kedua-dua negara itu, bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kata Hsiu Cheng, pihaknya akan menjalankan kajian perinci terlebih dahulu bagi menilai kebolehpasaran herba itu kepada syarikatnya sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Syarikat kami mempu­nyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang farmaseutikal bagi membantu mengembangkan perniagaan produk herba.

‘‘Kami yakin halia dapat digunakan untuk menghasilkan produk penjagaan kesihatan termasuk suplemen dan kosmetik,’’ katanya.