Menurut beliau, akta baharu itu tidak memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang yang disyaki tetapi ia diputuskan oleh panel bebas yang dilantik dan diketuai oleh bekas hakim.

“Saya ingin tegaskan tidak ada campur tangan politik. Ia diputuskan oleh badan bebas. Langkah ini lebih bijaksana dan ia dilihat lebih adil,” katanya dalam sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Malaysia, di sini malam tadi.

Muhyiddin berada di Jakarta dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke republik ini bermula semalam. Hari ini beliau mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, dakwaan sesetengah pihak bahawa POTA adalah ISA 2 tidak benar sama sekali kerana ia dirangka khusus untuk menangani masalah keganasan melibatkan rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan mencadangkan POTA kerana mendapati terdapat keperluan satu undang-undang khas bagi membanteras kegiatan keganasan di negara ini, malah sejak kebelakangan ini, terdapat rakyat Malaysia terbabit dengan kegiatan militan di luar negara.

Akta baharu ini memberi kuasa eksekutif kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing.

“Rakyat perlu menyokong undang-undang yang baharu diluluskan ini. Ia tidak menyekat kebebasan rakyat. Undang-undang sedia ada tidak memadai, perlu undang-undang baharu yang diluluskan oleh Parlimen,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukan bertujuan membayar hutang kerajaan seperti dakwaan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, GST bertujuan untuk menambah baik sistem percukaian negara, malah Malaysia adalah negara ke-161 di dunia yang melaksanakan cukai itu.

“Sistem cukai sebelum ini kurang adil, banyak berlaku ketirisan. Hasil cukai tidak menjadi hasil negara. Tetapi sistem cukai baharu ini lebih adil dan berkesan,” ujarnya menjawab soalan lain.

Muhyiddin tidak menafikan para peringkat awal pelaksanaan GST mungkin akan timbul pelbagai masalah kerana sistem ini mengambil masa untuk stabil seperti yang dialami oleh negara-negara yang telah melaksanakannya.

“Memang kita menjangkakan akan timbul sedikit masalah pada peringkat awal ini, tetapi lama kelamaan ia akan menjadi lebih stabil. Kita akan meneruskan kempen penerangan kepada rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapannya Timbalan Perdana Menteri berkata. terdapat banyak ruang dan peluang yang harus dimanfaatkan dalam usaha meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, walaupun lawatannya ke Jakarta adalah singkat, namun beliau akan membincangkan banyak perkara mencakupi bidang ekonomi, pendidikan dan sosio-budaya.