Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata siri setem edisi khas yang bertajuk ‘Edisi Khas Siri III-Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’ turut menampilkan 14 mantan Yang di-Pertuan Agong lain, dan akan dijual kepada orang ramai bermula Isnin depan di pejabat pos besar seluruh negara.

“Siri setem edisi khas yang dikeluarkan bagi memperingati kesemua 15 Yang di-Pertuan Agong ini didatangkan dalam satu helaian set setem memaparkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada harga RM5 sekeping.

“14 setem lain yang memaparkan imej 14 mantan Yang di-Pertuan Agong pula dijual pada harga RM1 sekeping,” katanya pada sesi pratonton media siri setem berkenaan di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini hari ini.

Diyana berkata siri setem itu akan dijual dalam kuantiti yang terhad iaitu hanya 5,000 set dikeluarkan.

Berbeza dengan siri setem terdahulu, siri setem edisi khas itu akan dijual secara set (siri setem, folder, sampul surat hari pertama) berharga RM37.10 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Berdasarkan rekod, edisi pertama siri setem yang menampilkan 13 Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan pada 2007 manakala edisi kedua menampilkan 14 Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan pada 2012.

Dalam pada itu, Diyana turut menggalakkan pengumpul setem membuka Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) untuk memudahkan urusan membeli siri setem terkini.

“Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau melalui dalam talian di www.posonline.com.my

“Mereka juga boleh melayari laman sesawang www.pos.com.my atau kunjungi cawangan Pos Malaysia terdekat atau Galeri Setem di Aras 2, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi,” jelasnya. - BERNAMA