Menterinya, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, tujuan pendaftaran itu bagi memastikan semua portal berita lebih bertanggungjawab terhadap setiap laporan yang dibuat selain memastikan koordinasi pemba­ngunan media atas talian teratur. 

Menurut beliau, pihaknya akan meneliti kriteria-kriteria untuk melayakkan sesebuah portal berita untuk didaftarkan. 

“Kementerian saya sedang meneliti rancangan ini iaitu mendaftarkan portal berita kepada Su­ruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kalau berdaftar, mereka akan tertakluk dengan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.  

“Proses ini dalam peringkat terakhir sekarang. Jika lulus, kita kemuka kepada Peguam Negara tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampai­an Hadiah Pertandingan Instagram Merdeka 2017#im60 (foto dan video) di Busana Mara di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Tambah Mohd. Salleh, pihak­nya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan kandungan berita yang dilaporkan portal-portal tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti negara. 

“Singapura sudah pun mendaftarkan portal berita mereka. Kriteria yang ditetapkan Singapura untuk mendaftarkan portal berita adalah mempunyai jumlah pelawat melebihi 50,000 orang. Malaysia pula, kita belum menetapkan jumlah tersebut, ” ujarnya. 

Menurut Mohd. Salleh, pihaknya akan berjumpa dengan pengendali-pengendali portal bagi menjelaskan rancangan kerajaan tersebut. 

“Kita amat optimis pengendali-pengendali portal berita di negara ini akan menerima cadangan berkenaan untuk kebaikan,” ujarnya. 

Ditanya mengenai Malaysiakini yang dianggap kebal daripada tindakan undang-undang, Mohd. Sal­leh berkata, pihaknya akan menyiasat mana-mana portal berita yang melanggar peraturan dan undang-undang. 

Hal ini, katanya, portal-portal berita di negara ini terikat de­ngan undang-undang sedia ada. 

“Kita tidak salahkan mereka (Malaysiakini) untuk memberi pandangan atau mengkritik kerajaan, tetapi kalau menyentuh perkara-perkara yang dianggap melibatkan keselamatan negara, jejaskan keharmonian kaum, sudah tentu kita akan membuat siasatan,” jelasnya.