ASRENEE AB RAZAK

Ketua Jabatan Psi­kiatri, Pusat Pe­ngajian Sains Perubatan (PP­SP) Kam­pus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Asrenee Ab. Razak berkata, ujian saringan kesihatan mental di klinik dan hospital sangat penting apabila anak tiba-tiba menunjukkan perubahan sikap.

Beliau berkata, pihaknya pernah merawat kanak-kanak seawal usia enam tahun yang mengalami gangguan emosi yang boleh membawa kepada kemurungan jika tidak dirujuk lebih awal.

“Jangan malu dengan istilah kesihatan mental kerana ia juga sama penting dengan kesihatan fizikal. Kanak-kanak dan remaja bukan seperti golongan dewasa yang boleh berkongsi dan menceritakan masalah, jadi ibu bapa mesti ambil perhatian sebarang perubahan sikap.

“Kita perlu peka apabila mereka tiba-tiba mengamuk, ponteng sekolah tanpa diketahui sebab, tidak mengendahkan orang di sekeliling atau berhenti melakukan perkara yang menjadi kegemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Kesihatan Mental sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian (3) di sini hari ini.

Program bertemakan Bebaskan Generasi Kita Daripada Ketagihan Gajet itu dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik) PPSP Kampus Kesihatan USM, Prof. Madya Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin.