Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Pondok Moden al-'Abaqirah yang merupakan pusat pengajian pondok pertama diwujudkan di Wilayah Persekutuan menggabungkan silibus pengajian kitab Turath dan akademik bakal memulakan sesi pertama pengajiannya pada Ogos ini.

“Syarat untuk memasuki pondok ini mestilah mempunyai kelulusan minimum Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), warganegara Malaysia, menghafaz sebahagian al-Quran dan mempunyai minat dengan pengajian Islam.

“Kita menyasarkan bilangan pelajar sebanyak 100 orang pada setiap tahun dengan tempoh pengajian adalah selama empat tahun. Walau bagaimanapun, untuk permulaan, kita hanya ambil 40 orang terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pondok Moden Al-'Abaqirah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Zainal Abidin Jaafar.

Jamil Khir memberitahu, MAIWP sebelum ini telah menubuhkan dua institusi pendidikan agama iaitu Sekolah Menengah Agama MAIWP dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) yang masing-masing mempunyai silibus akademik berbeza.

Katanya, Pondok Moden al-'Abaqirah yang menekankan pengajian kitab Turath diyakini mampu mengembalikan kegemilangan pendidikan Islam suatu ketika dahulu dalam melahirkan pelbagai pakar bagi merungkai isu semasa dan permasalahan ummah.

“Dengan kombinasi pembelajaran agama dan akademik, Pondok Moden al-'Abaqirah diharap dapat melahirkan para ilmuan Islam yang mempunyai kelulusan cemerlang sehingga peringkat ijazah kedoktoran (PhD),” ujarnya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohd. al-Bakri selaku Pengetua Pondok Moden al-'Abaqirah memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi supaya lepasan pondok dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Ujarnya, bakal pelajar Pondok Moden al-'Abaqirah hanya dikenakan yuran pendahuluan sebanyak RM500 manakala kos lain sepanjang tempoh pengajian ditanggung oleh MAIWP.

“Untuk permulaan, pondok ini akan memulakan operasi di sebuah bangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Kita akan buka permohonan kemasukan ke Pondok Moden al-'Abaqirah dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.