Beliau berkata, negeri lain dilihat sudah mengatur langkah ke hadapan dengan semangat baharu namun Perlis masih berdepan dengan kemelut meskipun keadaan dilihat sudah semakin reda.

Katanya, apa yang penting sekarang pengurusan negeri dapat berjalan dengan baik meskipun tidak diketahui apa yang mungkin berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang jika suasana politik di negeri ini masih tidak berubah.

“Orang lain kita lihat sedang mengatur langkah ke hadapan dengan semangat baharu, kita masih lagi dalam semangat, keadaan dan kemelut lama. Orang lain sudah ke hadapan, politik kita masih lagi dilihat sedikit terkebelakang.

“Saya secara peribadi juga berasa dukacita kerana di Malaysia ini orang sudah buat perubahan, kita pula tidak melakukan perubahan. Sudahlah tidak melakukan perubahan, terjadi pula kemelut yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Raja Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut Menteri Besar yang akhirnya selesai selepas kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar. - UTUSAN ONLINE