Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tem­patan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin berkata, polisi hanya menggu­nakan bahasa ke­bangsaan itu tidak berubah di peringkat Persekutuan meskipun kerajaan PH menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Kata beliau, papan tanda yang mempunyai tulisan bahasa Cina di Shah Alam, Selangor perlu dirujuk kepada kerajaan tempatan negeri tersebut.

“Biasanya bahasa Melayu sahaja tetapi ada juga tempat-tempat tertentu dahulu atas budi bicara, tetapi bukan rasmi.

“Walau bagaimanapun di Selangor dan negeri-negeri, saya pun tak pasti sebab polisi di peringkat Persekutuan masih sama,” katanya kepada pemberita di luar Kamar Khas Parlimen, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur) sama ada kerajaan PH bercadang meningkatkan elaun dan insentif untuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

Bagi menjawab soalan tersebut, Raja Kamarul Bahrin Shah memberitahu, peningkatan tersebut masih dalam pertimbangan dan hanya akan diputuskan pada tahun hadapan bergantung pada kedudukan kewangan negara.

“Sejak tahun 2004, elaun kepada 625 anggota pelbagai pangkat Hazmat seluruh negara adalah 100 sebulan dan kita akan mempertimbangkan untuk menaikkan kepada RM250,” katanya.