Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, polisi baharu itu diumumkan selepas perbincangan terperinci kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari tersebut.

Menurutnya, polisi dan dasar baharu itu antara lain bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing selain mengurangkan monopoli pihak ketiga yang dilihat sering berlaku pada sistem sekarang.

“Selasa depan akan ada mesyuarat antara kementerian saya dan Kementerian Dalam Negeri dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mempengerusikannya menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat ini khusus bagi membincangkan mengenai pekerja asing dan isu-isu yang sering timbul dan ada berita baik akan diumumkan kerajaan terutama berhubung polisi pengambilan pekerja asing yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melepaskan peserta Program Kayuhan Basikal ‘Ride with the Boss’ sambil mempromosikan kebersihan Bandar Raya Ipoh di sini hari ini.

Hampir 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar termasuk kakitangan kerajaan dan pelajar menyertai program tersebut yang bermula pada pukul 7 pagi. - UTUSAN ONLINE