Konstabel Muhammad Nurzulkhairee Md. Akhir, 27, diberikan penghargaan itu selepas menahan seorang lelaki yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh di kawasan Tanjung Bungah pada 8 Oktober 2015.

Dalam kejadian itu, Muhammad Nurzulkhairee cuba disogok dengan wang berjumlah RM1,000 namun ketegasannya dalam menjalankan tugas telah mengheret suspek ke balai polis untuk diambil tindakan.

“Sebagai anggota polis yang memikul amanah menjaga keamanan negara, kita perlu memberikan khidmat terbaik kerana rasuah tidak memberi keuntungan kepada semua individu,” katanya yang telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2009.

Sijil anugerah berserta insentif sebanyak RM200 itu di­sampaikan Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye dalam perhimpunan ikrar bulanan peringkat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Seorang lagi anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan turut diberikan penghargaan itu kerana menolak wang suapan namun tidak menghadiri majlis berkenaan kerana faktor kesihatan.

Dalam majlis sama, seramai 480 anggota polis negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebagai menghargai jasa dan tugas yang dijalankan secara berintegriti sepanjang bulan lalu.

Menurut Ghee Lye, PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani gejala rasuah dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat pegawai dan anggota yang terlibat.