MOHD. SAKRI ARIFFIN
MOHD. SAKRI ARIFFIN

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd. Sakri Arifin berkata, meski­pun laporan polis telah dibuat, na­­mun pihaknya perlu meneliti ter­le­bih dahulu sama ada terdapat ele­­men penipuan dalam kes tersebut atau tidak.

Ujarnya, sekiranya siasatan men­­­dapati terdapat unsur jenayah penipuan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap syarikat terlibat.

“Kita perlu menyemak terlebih dahulu semua laporan yang diterima, sekiranya didapati ada unsur tipu, tindakan lan­jut akan diambil,” katanya.

Beliau mengulas penyebaran laporan polis yang dibuat oleh tiga individu di tiga negeri berkaitan sebuah syarikat menawarkan pakej pelancongan yang didakwa telah memperdaya beberapa ejen.

Dalam laporan terbabit, mangsa mendakwa syarikat yang didalangi seorang lelaki dipercayai ber­asal dari Melaka itu telah menggunakan dua akaun bank milik dua warga emas bagi menjalankan transaksi antara ejen-ejen dan sesetengah pelanggan yang menggu­nakan perkhidmatan me­reka.

Selain itu, laporan ter­babit turut mendakwa le­laki terbabit dibantu seorang lagi lelaki yang berasal dari Indonesia untuk mencari mangsa de­ngan menggunakan nama samaran yang berbeza se­perti Andika, Hasbullah, Reza dan sebagainya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kes 72 pelabur yang kerugian RM4 juta selepas terpedaya skim pelaburan untuk mengusahakan sebuah restoran di Jalan Lundang, Kelantan, Mohd. Sakri berkata, pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan berkaitan skim terbabit.

“Kita perlu semak terlebih da­hulu sama ada benar laporan di­buat atau sebaliknya,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini mela­porkan 72 pelabur kerugian lebih RM4 juta selepas diperdaya melalui skim pelaburan tersebut.

Difahamkan, mereka dijanjikan­ dengan perkongsian keuntung­an, selain pemberian imbuhan RM2,000 setiap bulan selama setahun namun sehingga kini tiada sebarang pulangan diterima.