Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari'at berkata antara lokasi itu ialah Lebuhraya Duke, Lebuhraya MEX, Jalan Sungai Buloh-Jalan Kuala Selangor, Lebuhraya Guthrie dan Lebuhraya Selat Klang Utara.


"Kita kategorikan beberapa lokasi itu sebagai 'blackspot' kerana kebanyakan kes kemalangan berlaku di situ, sebab itu kita beri tumpuan dan pemantauan yang lebih di kawasan ini.

"Di Selangor sahaja, kita mempunyai 16 daerah dan kita tidak mempunyai keupayaan untuk jaga semua kawasan atau lokasi dalam setiap daerah ini bagi mengekang kes-kes kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi Op Selamat peringkat Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Operasi Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti ACP Razimi Ahmad.

Selain itu, Azman berkata pihaknya turut melaksanakan 'Op Lancar' bagi memastikan trafik menghala ke utara, selatan dan pantai timur berjalan lancar sepanjang Aidilfitri.

"Kita jangka volum kenderaan yang keluar dari Lembah Klang terutamanya yang menuju ke utara dan pantai timur semakin meningkat menjelangnya hari raya.

"Pertambahan kenderaan pastinya akan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk, oleh itu, dengan kawalan anggota polis, kita berharap keadaan trafik akan terkawal selain membantu pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selamat," katanya.

Mengulas mengenai Op Selamat itu, yang bermula hari ini, Azman berkata sebanyak 1,005 saman telah dikeluarkan setakat 12 tengah hari tadi di seluruh Selangor.

Antara kesalahan utama yang dikesan ialah melanggar lampu isyarat serta tidak memiliki lesen memandu.Sementara itu, Razimi mengingatkan orang ramai yang bercuti ke kampung halaman sempena Aidilfitri supaya mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Beliau berkata cara itu akan membantu polis meningkatkan rondaan di kawasan perumahan mereka sekali gus mengekang berlakunya kes pecah rumah. - BERNAMA