Kejadian di Taman Senangin, Perai dekat sini itu, disedari selepas polis menerima laporan daripada bekas guru kanak-kanak perempuan berkenaan berhubung perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung pada malam Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid, kanak-kanak perempuan itu yang merupakan anak sulung daripada dua beradik tidak lagi bersekolah dan mahu dikahwinkan bapanya atas faktor penjagaan.

Sehubungan itu, kata beliau, polis hari ini dengan disertai wakil Jabatan Agama Islam negeri dan Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) mengadakan pertemuan dengan keluarga berkenaan termasuk bakal pengantin lelaki di rumah mereka.

"Menerusi pertemuan selama tiga jam bermula pukul 9 pagi tadi itu, pihak berkuasa berjaya memujuk keluarga dan pasangan berkenaan menangguhkan perkahwinan sehingga kanak-kanak perempuan itu cukup umur.

"Sekiranya pasangan itu ingin meneruskan perkahwinan, mereka perlu melalui proses permohonan perkahwinan dengan pihak pejabat agama negeri dan mahkamah," katanya.

Menurut Nik Ros Azhan, kes itu telah dimaklumkan kepada pihak JKM dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk tindakan lanjut memandangkan keluarga berkenaan merupakan pemegang kad UNHCR. - UTUSAN ONLINE