Dalam serbuan pada pukul 3.45 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu, sepasang suami isteri warga Myanmar yang merupakan pengurus kepada semua warga asing tersebut turut ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, tangkapan di rumah kedai dua tingkat itu melibatkan tiga lelaki iaitu dua warga Nepal dan seorang warga Bangladesh.

Katanya, tangkapan di premis membuat sarung tangan itu pula melibatkan 15 pekerja iaitu lima warga Bangladesh, lapan warga Nepal dan dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan warga Myanmar.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun manakala pasangan suami isteri itu pula berusia 40-an. Kedua-dua suami isteri itu menguruskan gaji, tempat tinggal dan keperluan pekerja asing terbabit.

“Kesemua mereka dijanjikan gaji sebanyak RM1,800 namun hanya memperoleh gaji sebanyak RM1,200 sahaja setelah dipotong perbelanjaan makan berjumlah RM250 dan RM100 untuk tempat tinggal,” katanya.

Menurut Tian Kee, kesemua mangsa yang tidak mempunyai permit kerja juga dipaksa bekerja setiap hari daripada pukul 7 pagi hingga 7 petang tanpa cuti rehat.

Tambah beliau, mangsa juga mendakwa dipukul oleh lelaki terbabit sekiranya tidak mendengar arahan selain tidak dibenarkan keluar dari rumah yang terletak berhampiran kilang tersebut sebaik sahaja tamat waktu bekerja.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.- UTUSAN ONLINE