Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, proses menggeledah itu dilakukan polis untuk 'mencari sesuatu' di kediaman Najib di situ.

"Saya boleh mengesahkan kehadiran polis untuk membuat pencarian tetapi tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut," katanya seperti dipetik dalam portal Astro Awani, tengah malam tadi.

Terdahulu, kira-kira 16 buah kereta bersama sebuah trak polis dilihat masuk ke kawasan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini.

Najib sebelum itu keluar untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, di sini dan pulang kira-kira pukul 9.53 malam.

Polis pula hadir kira-kira pukul 10.16 malam, selepas Najib selesai menunaikan solat tarawih di masjid tersebut.

Antara barangan yang dilihat dalam trak tersebut ialah kotak dengan logo polis dan tertera tulisan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Turut dilihat hadir ialah peguam Najib, Datuk Hasnal Rezua Merican bersama seorang wanita yang tidak dikenali.

Selain lokasi berkenaan, polis juga dikatakan pergi ke empat lokasi lain iaitu di Seri Perdana, Menara Pavilion A dan B serta Perdana Menteri.

Kehadiran polis dikatakan untuk mengambil dokumen di rumah berkenaan dan bukan membawa keluar individu tertentu di rumah tersebut.

Buat masa ini, sejumlah besar wartawan hadir ke lokasi dan turut disertai orang ramai yang ingin tahu apa sedang berlaku. - UTUSAN ONLINE.