Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kali ini pihaknya akan meletakkan pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam usaha memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berprestij itu selain membendung kejadian tidak diingini.

“Polis bukan sahaja daripada pasukan tugas am, FRU (Unit Simpanan Persekutuan), K9 (Unit Pengesan), tapi kali ini kita juga ada anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) dan pasukan khas JSJ.

“Mereka ini ada yang beruniform dan sebaliknya. Mereka juga akan ada bersama dengan kedua-dua belah penyokong.

“Jadi pastikan penyokong tak buat apa-apa kesalahan. Jadilah penyokong yang baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Shafien berkata, perlawanan akhir kali ini juga hanya membenarkan 10 gendang bagi setiap pasukan dibawa masuk dengan ia perlu melalui pemeriksaan terlebih dahulu.

“Pintu mulai dibuka pukul 4 petang. Penyokong JDT akan melalui pintu A dan D, manakala Kedah B dan C. Kami akan membuat pemeriksaan fizikal pada setiap pintu. Hanya 10 gendang dibenarkan dibawa masuk dengan kesemuanya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak kami,” katanya.- UTUSAN ONLINE