Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, sebelum ini berlaku kejadian pasukan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya tidak dibenarkan melakukan rondaan di dua kawasan perumahan elit di daerah ini.

"Kami hanya menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan saya sendiri tidak pasti mengapa pasukan polis tidak dialu-alukan di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan selepas wakil rakyat mengadakan pertemuan dengan persatuan penduduk kawasan berkenaan. Mereka perlu tahu mereka boleh dikenakan tindakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas jadi selepas ini kami harap kerjasama dapat diberikan," katanya selepas sesi pertemuan dengan rukun tetangga di USJ 9, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Risikin memaklumkan pihaknya akan memastikan rondaan cegah jenayah dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah berlaku di daerah ini.

"Kita perlu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya rondaan pihak polis bagi mencegah kejadian jenayah terutama di kawasan perumahan mereka.

"Kita lebih suka usaha pencegahan daripada mengambil tindakan apabila jenayah sudah berlaku. Tindakan memang boleh diambil, tetapi mangsa perlu menanggung kerosakan atau kerugian disebabkan jenayah tersebut," ujarnya.

Tambah Risikin, pihaknya akan mengadakan program turun padang bertemu rukun tetangga di lima zon di daerah Subang Jaya setiap malam minggu untuk mendengar keluhan penduduk seterusnya meningkatkan kepercayaan masyarakat setempat. - UTUSAN ONLINE