Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, menerusi kempen keselamatan rumah dan premis dalam Op Selamat 12, pihaknya akan meningkatkan lagi penguatkuasaan lalu lintas dan memantau setiap premis yang berdaftar.

"Dalam Op Selamat kali ini, kita (polis) mendapat kerjasama lebih banyak agensi berbanding edisi sebelum ini yang antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Majlis Jaksa Pendamai, Lions Club Tanjung Bidara dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas Pelancaran Op Selamat 12 sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong serta Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Sham Abdullah.

Pada masa sama, turut memeriahkan majlis adalah Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad; Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A. Asmadi Abd. Aziz dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu. - UTUSAN ONLINE