KHALID ABU BAKAR

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan di pintu masuk Stadium Shah Alam, Selangor sebagai langkah menjamin ke­­selamatan pemain serta penonton dari dalam dan luar negara yang hadir menyaksikan aksi final tersebut.

Katanya, soal keselamatan menjadi keutamaan walaupun penonton mungkin merungut kerana terpaksa beratur panjang untuk masuk ke stadium.

“Kita siap sepenuhnya ke­rana mempunyai keanggotaan yang cukup untuk mengawal ke­selamatan penonton dan pemain pada perlawanan akhir esok.

“Bagaimanapun, saya ingat­kan mereka yang hendak me­nyaksikan perlawanan akhir nanti supaya datang awal kerana pemeriksaan di pintu masuk akan menjadi lebih ketat, patuh kepada arahan polis,” katanya kepada pemberita selepas Maj­lis Amanat Ketua Polis Negara di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, pihaknya yakin siasatan terhadap kes seorang pegawai polis maut ditembak di Taman Sri Hosba, Changlun pada 18 Ogos lalu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak sembilan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian bunuh tersebut telah ditahan.

“Kita juga sedang meneliti laporan forensik dalam kes ini dan kita telah mendapat beberapa penemuan yang boleh membantu mengenal pasti siapa yang terlibat,” ujarnya.