Reaksi Timbalan Perdana Menteri itu berikutan cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mahukan satu prosedur bagi memberi kuasa kepada pihak polis melakukan siasatan dan mengambil alih kes buli di sekolah.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu wajar memandangkan ke­giatan buli pada hari ini dilihat mempunyai unsur jenayah.

“Polis harus mengendalikannya. Pentadbiran sekolah tidak boleh diam dan menyorok kes buli melampau,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Rahim dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini mengemukakan cadangan itu selepas terkesan dengan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan seorang remaja lelaki, T. Nhaveen akibat dibuli baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada pihak sekolah boleh diambil tindakan sekiranya cuba menyembunyikan kes buli, Ahmad Zahid memberitahu perkara itu akan diteliti terlebih dahulu.

“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan meneliti perkara itu,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan memberitahu, sebarang cadangan dalam usaha membanteras gejala buli amat dialu-alukan dan disambut baik.

Beliau berkata, pasa masa ini juga, pihak kementerian memberi kerjasama yang baik kepada polis untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan sekiranya ada kejadian buli dilaporkan berlaku di sekolah.

“Selain itu, kementerian juga tidak berkompromi dengan mana-mana sekolah yang cuba menyembunyikan kejadian buli dengan tindakan bakal dikenakan kepada pengurusannya,” ujar beliau.